Monday, April 7, 2008

SEPINTAS LALU - PARIT BUGIS













Selamat datang ke Kampung Parit Bugis, Mukim Sungai Balang, Daerah Muar, Negeri Johor Darul Takzim. Kampung kami ini terletak kira-kira 34km daripada Muar (Bandar Maharani) dan 27km daripada Batu Pahat (Bandar Penggaram) dan boleh dilalui dari simpang Pekan Bahru Parit Yusof dari Jalan Muar-Batu Pahat atau simpang Air Hitam Batu 20 dari Jalan Muar-Yong Peng.

Parit Bugis adalah salah satu kampung rangkaian yang mempunyai 12 kampung kecil iaitu Parit Masjid, Parit Gantung, Kampung Melayu, Parit Begelen, Simpang Sekolah, Parit Bugis, Parit Nombor 1, Parit Nombor 2, Parit Nombor 3, Parit Nombor 4, Parit Nombor 5 dan Sungai Balang Kecil.

Kampung ini merangkumi 401 buah rumah dan mempunyai penduduk seramai 2,075 orang yang majoritinya adalah orang-orang Malayu berketurunan Jawa. Taburan penduduk di sini terdiri dari 29% lelaki dewasa, 33% perempuan dewasa, 19% kanak-kanak lelaki manakala selebihnya 19% lagi adalah kanak-kanak perempuan.

Mengikut sejarahnya, Parit Bugis telah diteroka pada tahun 1904 oleh orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar dari kepulauan Riau, Indonesia. Pada mulanya, orang-orang Bugis ini telah membuka kawasan hutan di sini dan mengusahakan tanaman getah. Memandangkan tanaman getah tidak sesuai dengan keadaan tanah gambut di sini pada ketika itu, maka setelah tempoh lima tahun orang-orang Bugis tersebut telah meninggalkan kampung ini dan kerja-kerja membuka hutan di sini diambil alih oleh orang-orang Jawa yang berasal dari Kabupaten Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia untuk mengusahakan tanaman kelapa pula.

Masyarakat Jawa tersebut kekal mendiami kampung ini sehinggalah sekarang yang mana penduduk kampung ini adalah generasi ketiga atau keempat keturunan mereka dan melalui perkahwinan, hampir kesemuanya saling bersaudara. Peneroka awal ini juga turut mengembangkan kawasan ini lalu membentuk beberapa buah kampung lagi. Ketua Kampung yang pertama dikenali sebagai Wak Bawok manakala Penghulunya pula bernama Abu Hassan.

Pentadbiran kampung ini diterajui oleh sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang kini diketuai oleh Tuan Hj Saifudin bin Mohd Kadak sebagai Ketua Kampung. JKKK bertanggungjawab mentadbir hal-ehwal kampung, menentukan perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan di dalam kampung, menilai dan menyusun keutamaan projek, serta menjadi badan perantaraan dalam menyampaikan maklumat antara penduduk kampung dengan kerajaan.

Dalam mendokong dasar-dasar dan usaha kerajaan memajukan negara, aspek kebersihan dan kesihatan serta pencegahan wabak penyakit berjangkit adalah diutamakan diperingkat akar umbi. Kesedaran mengenai amalan menggunakan sistem tandas curah dan pelupusan najis diutamakan. Penjagaan alam sekitar sangat dititikberatkan dan setiap penduduk memastikan setiap dalaman dan halaman rumah mereka sentiasa bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk aedes atau tidak membiarkan kebun mereka semak mengundang binatang buas.

Setelah penduduk terjamin dari ancaman penyakit, aspek keindahan dan keceriaan kampung ditekankan bagi menjadikan kampung sebagai sebuah kediaman selesa yang menjadi asas kukuh untuk membentuk sebuah keluarga dan masyarakat berharmoni. Tanaman pokok-pokok hiasan di sepanjang jalan utama dan pembinaan replika batu berbentuk buah-buahan seperti durian, jagung, nenas, kelapa muda, kelapa sawit, manggis dan objek lain seperti keris, kompang dan gong dibina di simpang-simpang utama kampung ini.

Kegiatan ekonomi penduduk kampung ini adalah berasaskan pertanian dan penternakan sama ada secara sara diri kecil-kecilan mahupun secara komersial. Tanaman utama ialah kelapa sawit, kelapa, kopi, nenas, tebu dan sentang manakala penternakan komersial pula ialah ayam daging sebanyak 30,000 ekor dan lembu sebanyak 260 ekor. Beberapa penduduk kampung ini juga melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dalam menghasilkan makanan ringan serta kuih-kuih tradisional seperti bahulu, kerepek, kuih kapit, cakar ayam, tempe, gula melaka dan kek lapis Sarawak.

Disamping itu, warisan kesenian dan kebudayaan masih menebal dihati penduduk setempat. Ini dapat dilihat melalui kegiatan kumpulan kesenian yang berkait rapat dengan adat resam masyarakat berketurunan Jawa seperti Barongan, Kuda Kepang, Kemplingan dan Kompang Jidor. Tak kurang juga kesenian warisan Johor dalam kumpulan muzik ghazal dan zapinnya, dan kami juga berbangga dengan kugiran Pop Yeh Yeh 60'an kami "Jaka Persona". Rata-ratanya kesenian ini berkesinambungan dan diwariskan kepada generasi pelapis yang masih muda. Hasil kesenian seperti kraftangan berasaskan tempurung, ukiran kayu, sarung parang, gasing dan peralatan muzik tradisional seperti kompang, gambus dan gendang sentiasa mencuri tumpuan pelancong-pelancong yang datang ke kampung kami.

Terima Kasih kerana melayari laman web kami, bila lagi hendak melawat kampung kami? Kami mempunyai program “homestay” untuk anda tinggal bersama kami, menikmati hidangan kami dan mendekati keakraban silatur-rahim kami. Makanan tradisi di sini sungguh enak, pastinya anda perlu mencuba mee bandung, sau to, rojak petis, asam pedas nasi beriyani gam dan sate. Oh ya...satu lagi keistimewaan kampung kami ialah terdapatnya 3 pohon kelapa yang bercabang tiga...sesuatu yang "Pelik Tetapi Benar". Hubungilah kami sekarang juga… kami menanti kunjungan anda.

Sekian, Wassalam….Semoga Berjumpa Lagi!